BUTIG, FILIPINA 4 Jun – Tentera Filipina menawan sebuah kem latihan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Butig, selatan negara ini selepas berlaku pertempuran sengit selama 10 hari yang mengorbankan empat anggota tentera dan 15 lagi cedera, semalam.
Menurut Kolonel Roseller Murillo, serangan ke atas kumpulan militan Maute yang melafazkan ikrar taat setia kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) dilancarkan di kawasan berpaya dalam hutan terpencil kira-kira 800 kilometer dari Manila.
Menurut beliau, serangan itu juga menyebabkan berpuluh-puluh anggota militan Maute terbunuh.
Beberapa bahan letupan, pelancar roket, uniform militan dan bendera militan IS berwarna hitam ditemukan dalam pondok kayu yang dipercayai digunakan oleh kumpulan militan tersebut.
“Anggota militan Maute dipercayai melarikan diri dan bersembunyi, namun pihak tentera akan meningkatkan usaha untuk membanteras aktiviti pengganas di kawasan ini,” katanya.
Serangan itu dilancarkan selepas kumpulan militan itu berundur ke kawasan yang telah dikuasai pihak tentera semasa pertempuran pada Februari lalu.
Menurut seorang anggota tentera, militan Maute menyerang pos kawalan luar tentera di Butig pada Februari lalu mencetuskan pertempuran selama seminggu menyebabkan enam anggota tentera dan 12 anggota militan itu terbunuh.
Kumpulan militan itu yang dipercayai mempunyai kurang daripada 100 anggota telah meletupkan pencawang pemancar dan menculik serta memenggal kepala dua kakitangan kilang papan pada April lalu.
Murillo berkata, serangan tentera yang bermula pada 24 Mei lalu turut menyebabkan 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan. – AFP